Sejarah Ahlussunnah Wal Jamaah

SEJARAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Oleh : Zaki Sapuan 31 Okt 2018

Ahli Sunnah Wal Jamaah (Ahli Sunnah) ialah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad menerusi para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in yang setia bersama mereka dalam prinsip- prinsip akidah, syariah dan akhlak.

Rasulullah bersabda, “Sebaik-baik umatku adalah pada masaku. Kemudian orang-orang yang setelah mereka (generasi berikutnya), lalu orang-orang yang setelah mereka.” (HR AL-BUKHARI)

Salafussoleh dari sudut bahasa bermakna para pendahulu yang soleh. Yang dimaksudkan dengan istilah Salafussoleh adalah para pendahulu kaum muslimin dari kalangan sahabat Nabi, tabi’in (para murid sahabat) dan tabi’ tabi’in (para murid tabi’in). Dengan demikian Salafussoleh adalah tiga generasi terawal dari kaum muslimin.

Ahli Sunnah memakai manhaj Salafussoleh sebenar yang wujud dalam tiga kurun terbaik. Diamalkan sejak zaman Salafussoleh sehinggalah sekarang. Keabsahan sanad ilmu dan thaqafah yang dipegang aqidah ini bersambung daripada seorang ulama’ kepada ulama’ yang lain sampailah kepada Rasulullah. Ianya adalah sebuah manhaj yang diperakui keasliannya. Bukannya sebuah mazhab yang dibuat-buat.

Syekh Dr. Sa’id Ramadhan Al-Buthi menyatakan, “Al-Salafiyyah ialah satu tempoh masa yang diberkati dan bukanlah sebuah mazhab Islam.”

Ahli Sunnah diperakui kebenarannya oleh jumhur ulama’ dan diterima majoriti kaum Muslimin, menjadikannya Sawād al-A’zam yang dijamin Nabi.

Rasulullah bersabda, “Allah tidak menghimpunkan umatku dalam perkara kesesatan selama-lamanya. Hendaklah kamu mengikuti al-Sawad al-A’zam, yang bermaksud sekumpulan majoriti orang yang berhimpun mentaati pemerintah dan menurut jalan yang lurus.”

Sufyan Ats-Tsouri berkata, “Melalui al-Sawad al-A’zam, mereka dinisbahkan sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah.”
Kaedah Ahli Sunnah selari dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah dan para Sahabat. Tidak terlalu ekstrem kepada kekerasan sehingga sentiasa mahu mengkafirkan golongan yang bercanggah pendapat dengan mereka dan mereka juga tidak terlalu ekstrem kepada kelembutan sehingga memberi laluan kepada golongan yang menyeleweng dari al-Quran dan Sunah. Mereka mampu mengawal perbezaan pandangan ijtihad mereka untuk menjaga kesatuan umat.

Sejarah menjelaskan siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jasanya tidak dapat dinafikan. Kita dapat lebih menyedari kepentingan akidah ini apabila memahami kecelaruan dan fitnah yang melanda kaum muslimin sebelum manhaj Salafussoleh disusun menjadi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sejarah Abad Pertama Hingga Ketiga Hijrah

Ketika Rasulullah masih hidup, umat Islam tidak mengalami polemik iktikad yang serius kerana sebarang permasalahan dapat terus diajukan kepada baginda dan diselesaikan segera. Kesepaduan ummah terjamin melalui kesepakatan di hadapan Rasulullah. Akan tetapi, keadaan berubah apabila Nabi Muhammad wafat. Kaum munafiq, gerakan murtad dan nabi palsu mula berani menampakkan taring setelah ketiadaan baginda.

Seawal-awal salah faham di kalangan ummah ialah tentang siapakah yang paling layak menjadi khalifah menggantikan Rasulullah. Segelintir pihak mendakwa bahawa Saidina Ali yang paling layak. Setelah bermesyuarah, para sahabat memutuskan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah. Ketegasan Saidina Abu Bakar meredakan beberapa konflik yang melanda.

Di zaman Saidina Uthman, berlaku pembunuhan khalifah ke-3 itu yang didalangi oleh orang munafiq. Peristiwa ini mencetuskan kontroversi apabila ummah menuntut agar pembunuh sebenar dihukum mati. Ketika Saidina Ali menjadi khalifah ke-4, fitnah semakin marak apabila gerakan dari Syam menekan pembelaan Saidina Uthman. Salah faham yang ditiup oleh kaum munafiq akhirnya mencetuskan Perang Siffin & Perang Jamal.

Di zaman ini munculnya firqah Syiah, Khawarij & Murjiah.

• Syiah ialah firqah yang melampau dalam memuja Saidina Ali. Mereka menolak kepemimpinan Saidina Abu Bakar, Umar & Uthman. Pemimpinnya ialah Abdullah bin Saba’.

• Khawarij ialah firqah yang melampau dalam membenci Saidina Ali. Mereka mulanya menyokong Saidina Ali tetapi kemudian menolak kepimpinannya selepas majlis Tahkim dalam Perang Siffin. Golongan ini mula terbentuk pada akhir abad ketujuh Masehi di selatan Iraq. Pemimpinnya ialah Abdullah bin Wahab Ar-Rashidi.

• Murjiah ialah firqah yang beriktikad bahawa perbuatan maksiat tidak memberi mudarat kalau sudah beriman, sepertimana membuat kebaikan tidak bermanfaat kalau kafir. Pemimpinnya ialah Hasan bin Bilal Muzni, Abu Sallat Samman, dan Diror bin ‘Umar.

Selepas ketiadaan Khulafa’ Rasyidin ke-4, Saidina Hasan yang menggantikan ayahnya Saidina Ali, telah menyerahkan takhta khilafah kepada Saidina Muawiyah bagi mencegah perpecahan ummah yang lebih parah. Maka bermulalah Khilafah Umayyah yang membuka wilayah Islam dengan lebih luas.

Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman asing. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Jajahan baru membawa bersama pelbagai fahaman luar yang memasuki negeri Islam. Bangsa arab kini menempuh cabaran baru iaitu serangan pemikiran. Falsafah greek tanpa disaring telah mencetuskan kerancuan pemikiran. Ditambah lagi dengan beberapa sarjana yang telah terpesong akibat membelakangi sanad keilmuan.

Munculnya perpecahan tersebut akibat penafsiran yang berbeda pada apa yang telah disampaikan Rasulullah. Mereka mengambil satu nas dari al-Quran atau Hadits dan meninggalkan nas yang lain, sehingga apa yang mereka faham tidak sama dengan apa yang para Sahabat faham daripada Rasulullah. Oleh kerana ini, sanad talaqqi begitu penting.

Di zaman ini munculnya firqah Muktazilah, Qadariah, Jabbariyah, Najariah dan Musyabbibah Mujassimah.

• Muktazilah ialah firqah yang berfahaman bahawa Tuhan tidak mempunyai sifat, bahawa manusia membuat pekerjaannya sendiri, bahawa Tuhan tidak dapat dilihat dengan mata dalam syurga, bahawa orang yang mengerjakan dosa besar diletakkan di antara syurga dan neraka, dan mikraj Nabi hanya dengan roh sahaja dan lain-lain. Pemimpinnya ialah Wasil bin ‘Ata dan ‘Umar bin ‘Ubaid.

• Qadariah ialah firqah yang beriktikad bahawa segala perbuatan manusia itu samada baik atau buruk adalah lahir dari usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri, tiada hubung kait dengan kuasa Allah. Pemimpinnya ialah Ma’bad ibn Khalid al Juhani dan Ghailan al-Dimasyqi.

• Jabariyah ialah firqah yang beriktikad bahawa manusia itu dipaksa dan digagahi sepenuhnya oleh Allah, manusia itu langsung tidak berkemampuan melainkan Allah dan manusia seperti kapas dan debu yang ditiup angin. Segala buruk dan baik itu Allah yang melakukannya ke atas manusia. Pemimpinnya ialah Jaham ibn Safuan dari Khurasan.

• Najariah ialah firqah yang beriktikad kuasa perbuatan yang dinamakan makhluk boleh memberi bekas, menafikan rukyah Allah dengan nyata di hari akhirat, menganggap al-Quran itu baharu dan mendakwa iman cukup dengan pengakuan sahaja. Pemimpinnya ialah Abil Khusein bin Muhammad al Najar.

• Musyabbibah Mujassimah ialah firqah yang beriktikad Tuhan juga bersifat seperti manusia, ada tangan, mata, kaki, duduk di atas kerusi dan sering turun naik di antara langit dan bumi secara fizikal. Mengatakan bahwa Tuhan itu bertempat dan menyerupai sifat-sifat makhluk-Nya. Pemimpinnya ialah Abu Abdillah al-Hasan bin Hamid bin Ali al-Baghdadi al-Warraq, Muhammad bin al Husain bin Muhammad bin Khalaf bin Ahmad al-Baghdadi al-Hanbali dan Abu al-Hasan Ali bin Abdullah bin Nashr az-Zaghuni al-Hanbali.

Di zaman Khalifah al-Ma’mun, al-Mu`tasim dan al-Wathiq, kerajaan memayungi firqah Muktazilah. Mereka memaksa rakyat mengakui al-Quran sebagai makhluk dan memenjarakan sesiapa yang ingkar.

Kemunculan

Bagi mengelakkan ummah terus terjerumus ke lembah kesesatan, maka lahirlah ulama’ yang mengumpulkan manhaj asli Salafussoleh dan bertegas melawan penyelewengan aqidah dan pemikiran.

Imam Abu Hasan ‘Ali Al-Asy’ari lahir di Basrah tahun 260 Hijrah dan wafat dalam tahun 324 Hijrah. Imam Abu Mansur Muhammad al-Maturidi pula lahir di Basrah sekitar tahun 238 Hijrah dan wafat tahun 333 Hijrah. Kedua-dua imam Ahli Sunnah ini termasuk dalam kalangan Salafussoleh.

Imam Al-Asya’ari pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya Abu Ali al-Jubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy’ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Abu Hasan al-Asy’ari memperkemaskan aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut.

Syekh Dr. Sa’id Ramadhan Al-Buthi berkata, “Sesungguhnya Imam Asya’ari tidak memulakan pendapat bida’ah, tidak mencipta mazhab, dan sebenarnya yang dilakukan ialah menyusun mazhab Salafussoleh, berjuang untuk kebenaran yang diwariskan oleh Rasulullah dan sahabatnya, ia diiktiraf oleh semua imam-imam tafsir, hadis dan feqh pada zamannya.”

Pengaruh

Al-Mutawakkil ialah khalifah yang memainkan peranan penting dalam kejayaan golongan Ahli Sunnah mendominasi dunia Islam. Semasa awal pertabalan al-Mutawakkil menjadi khalifah, aliran Muktazilah memegang kekuasaan dalam hampir kesemua bidang sama ada pemerintahan dan pentadbiran negara, institusi- institusi pendidikan, pusat-pusat perubatan, perdagangan. Aliran ini juga turut mendominasi akidah golongan berpendidikan tinggi, intelek-intelek dan kelas-kelas masyarakat yang mempunyai pengaruh.

Aliran Ahli Sunnah menguasai masyarakat bawahan dan kebanyakannya terdiri daripada kadi, pendakwah, ulama fiqh dan orang-orang yang mengikuti mereka. Al- Mutawakkil bersekutu dengan Ahli Sunnah kerana mendapati faedah dan keuntungan daripada tindakannya itu. Perintah telah dikeluarkannya untuk menyingkirkan Muktazilah dari kerajaan.

Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ari adalah dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya’irah.

Aliran Asya’irah ini berkembang dengan pesatnya di Iraq. Semakin berkembang lagi pada masa keemasan Madrasah An-Nizhamiyah di Baghdad dan didukung oleh Al-Mahdi bin Tumirat. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al- Ayubi, di Syiria dengan sokongan Sultan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Khilafah Uthmaniah dan di daerah-daerah yang lain. Sultan Muhammad al-Fateh juga beraqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ia menyebar luas pada zaman Wazir Nizhamul Muluk di zaman Bani Saljuk. Aqidah ini juga didokong oleh ulama’-ulama’ di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

Al-Firqoh An-Najiyah

Rasulullah bersabda, “Yahudi telah berpecah-belah menjadi 71 golongan, maka satu di Syurga dan tujuh puluh di Neraka, dan Nashara telah berpecah belah menjadi 72 golongan, maka satu di Syurga dan tujuh puluh satu di Neraka, dan demi yang jiwaku di tangan-Nya sungguh ummatku akan berpecah belah menjadi 73 golongan, maka satu di Surga dan tujuh puluh dua di Neraka, dikatakan “Wahai Rasulullah siapa mereka itu?”, beliau berkata: “Mereka adalah al-Jama’ah.” (HR AHMAD)

Rasulullah bersabda, “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah.” (HR IMAM MALIK)

Rasulullah bersabda, “Senantiasa terdapat kelompok dari ummatku yang mengibarkan (menampakkan) kebenaran, tidak merugikan mereka orang-orang yang menghinakannya sampai datang keputusan Allah, sedangkan mereka tetap dalam keadaan demikian.” (HR MUSLIM DARI TSAUBAN)

Firqah al-Nâjiyah merupakan nama lain dari Ahli Sunnah Wal Jama’ah, Jamâ’ah al-Muslimin, Thaifah Manshûrah, al-Ghuraba’, dan Ahl al-Hadîts atau Ahl al-Atsar. Semuanya merupakan kesatuan makna dan tidak terpisah-pisah. Adapun nama-nama yang disebutkan itu menunjukkan karakteristiknya yang beragam.

Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu istilah yang jelas untuk menunjukkan ke atas seseorang yang bermanhajkan Al-Salaf As-Soleh dengan berpegangkan Al-Qur’an dan Sunnah dan peninggalan-peninggalan yang diriwayatkan daripada Rasulullah serta daripada para sahabat, bagi membezakan daripada mazhab-mazhab Bid’aah dan pengikut hawa nafsu semata.

Dan sekiranya disebutkan istilah ini (Ahli Sunnah Wal Jama’ah) di dalam kitab-kitab Ulama’, maka yang dimaksudkan dengannya ialah Al-Asyã’irah, dan Al-Mãthuridi dan Ashabul Hadis. Ini kerana, merekalah yang lebih mendalami hal keadaan Rasulullah dan mereka tidak menggantikan apa-apa atau mengubahnya sepertimana perbuatan dari selain mereka yang cenderung kepada kesesatan dan berlebih-lebihan.

Rasulullah telahpun menyifatkan Al-Firqoh An-Najiyah sebagai satu golongan yang terbesar (majoriti) daripada kalangan ummah. Dan penyifatan ini bersesuaian ke atas Asya’irah dan Mathuridi serta Ashabul Hadis. Maka sesungguhnya mereka adalah sebanyak-banyak ummat Islam.

Imam Jalal Al-Dawani berkata, “Al-Firqoh An-Najiyah adalah Asya’irah, iaitu mereka mengikuti pada dasar-dasar yang dibawa oleh Syeikh Abu Hasan Asya’ari.

Jikalau aku berkata: Bagaimana dihukumkan bahawasanya Firqoh An-Najiyah ini adalah Asya’irah? Dan tiap-tiap firqoh mendakwa bahawa ia adalah Najiyah?

Aku katakan, bersesuaian dengan hadis,yang mengatakan bahawa sesungguhnya mereka itu – yakni Firqoh An-Najiyah – mereka beriktikad dengan apa yang diriwayatkan daripada Nabi dan para sahabat Baginda.

Dan iktikad itu adalah suatu perkara yang batin,ia tidak dapat diketahui kaifiat caranya melainkan dengan pemberitahuan daripada tuan empunya diri.

Dan Nabi telah mengkhabarkan mengenai iktikad baginda melalui hadis-hadis qouliah dan kemudiannya diambil oleh para sahabat baginda, dan mereka mengkhabarkan pula kepada sekalian ummah dan seterusnya, Asya’irah mengambil hadis-hadis soheh tersebut. Dan mereka beriktikad dengan maksud pengertian yang sebenar tanpa mengubahnya dari makna murod yang dikehendaki oleh Nabi. Oleh demikian itulah mereka dikatakan sebagai Asya’irah.

Maka sesungguhnya mereka berpegang dalam akidah mereka dengan hadis-hadis Soheh yang diambil daripada Rasulullah dan daripada para sahabat baginda. Dan mereka tidak membolehkan memandang sekadar sisi luar hadis melainkan pada hal keadaan dhoruri. Dan mereka tidaklah mengikuti akal semata sedang meninggalkan dalil nas sebagaimana Muktazilah.”

Golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Imam ‘Abdul Qohir Al-Baghdadi:

“Sesungguhnya Nabi ketika menyebutkan bahawa ummatnya akan terpecah kepada tujuh puluh tiga firqoh dan turut mengkhabarkan bahawa salah satu firqoh daripadanya adalah Najiyah. Ditanya pula mengenai Firqoh An-Najiyah dan berkaitan sifatnya, maka ia diisyaratkan kepada mereka, yang mana mengikuti landasan Rasulullah dan para sahabat. Dan tidaklah kita dapati pada hari ini daripada pecahan ummah yang bersepakatan dengan para sahabat selain daripada Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang mana terdiri daripada fuqoha’ ummah dan mutakallimi as-sifatiah.”

Kemudian dia membuat penjelasan bahawasanya tidak akan selamat baki daripada firqoh-firqoh yang lainnya dan menggariskan penyelewengan mereka daripada manhaj Rasulullah dan para sahabat.

Dan daripada penjelasan ini, bahawa orang-orang yang mengikuti para sahabat adalah sesiapa yang beramal dengan apa yang telah dibenarkan oleh riwayat-riwayat yang soheh pada hukum-hukum dan rahsia-rahsia mereka. Dan begitulah sunnah Ahli Sunnah tanpa wujud kelompok yang bid’aah. Dan membenarkan kesohehan pada apa yang telah kita sebutkan iaitu sudah pasti selamatnya mereka yang mengikuti jalan Nabi begitu jua orang-orang yang mengikuti para sahabat. Dan segala puji bagi Allah atas demikian itu.

Al-Baghdadi menjelaskan pembahagian Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada lapan bahagian iaitu:

1. Mereka yang terdiri daripada ahli ilmu tauhid dan ilmu kalam termasuklah yang dikatakan sebagai sifatiyyah yang bebas dari segala unsur tasybih, ta’til dan bid’ah golongan Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najjariah dan sebagainya.

2. Mereka yang terdiri daripada imam fiqh sama ada yang cenderung kepada aliran ahl al-ra’y mahupun aliran ahl al-hadis. Mereka ini berkeyakinan kepada perkara usuluddin dengan aliran sifatiyah yang membicarakan sifat-sifatNya yang azali tanpa tasybih dan ta’til yang bebas daripada unsur Qadariyah dan Muktazilah. Mereka ini termasuklah Imam Malik, Imam al-Syafi’ie, al-Auza’ie, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila, pengikut al-Thaur, pengikut Ahmad bin Hanbal, ahli al-Zahir. Dan mereka ini tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bid’ah dan hawa nafsu.

3. Mereka yang menguasai bidang ilmu periwayatan hadis dan sunnah Nabi Mereka boleh membezakan yang sahih dan batil, mengetahui sebab al-jarh wa ta’dil (kredibiliti perawi), dan mereka tidak memasukkan apa-apa pun ke dalam ilmu mereka daripada perkara bid’ah yang menyesatkan.

4. Mereka yang menguasai ilmu berkenaan bahasa Arab dan sasteranya, antaranya ilmu Nahu dan sarf. Mereka adalah pakar bahasa antaranya ialah al-Khalil, Abu ‘Amr bin al-‘Ala, Sibawaih, al-Farra’, Akhfash, al-Asma’I, al-Mazini, Abu Ubaid dan seluruh imam nahu sama ada ulama Basrah atau Kufah yang tidak mencampurkan sesuatu ke dalam ilmu mereka sesuatu daripada bid’ah Qadariah, Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya mereka cenderung ke arah nafsu dan kesesatan maka ia bukanlah termasuk golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah, walaupun kata-katanya adalah hujah dalam ilmu bahasa.

5. Mereka yang menguasai ilmu berkenaan qiraat untuk al-Quran dan tafsir al-Quran, penakwilannya adalah berasaskan mazhab-mazhab ahli sunnah tanpa berpegang dengan penakwilan ahli nafsu yang sesat.

6. Mereka adalah para zuhud sufi yang memerhatikan maka ia mendapat ilmu, yang diuji maka diambil iktidar daripadanya, redha dengan keteapan ke atasnya, mengetahui bahawa segala penglihatan, pendengaran dan hati akan dipertanggungjawabkan dan dihisab dengan neraca kelak. Mereka menafikan tasybih, mazhab mereka adalah tafwidh (penyerahan terhadap Allah) kepada Allah, bertawakkal kepadaNya, penyerahan kepadaNya, tenang dengan apa yang direzekikanNya.

7. Mereka yang berada di barisan hadapan dalam jihad melawan musuh-musuh Islam, menjaga kesucian Islam, sanggup meninggalkan rumah dan isteri merka dan jelas pada mereka mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

8. Mereka yang zahir kebanyakan syiar Ahli Sunnah Wal Jamaah di dalamnya, bukannya syiar ahli hawa nafsu yang sesat.

Pengiktirafan

- Syeikh Abdul Qadir Jailani berkata, “Terdapat 73 golongan seperti yang diberitakan oleh Sayyidina Rasulullah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah golongan yang benar.”

- Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata, “Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang berjaya dan golongan ini menimbang dan memuktamadkan pemikiran mereka berdasarkan al-Quran.”

- Syeikh Ahmad Tayeb berkata, “Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah Asya’ari dan Maturidi dalam iktikad, dan mengikuti mazhab yang empat (Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali) dalam fiqh, dan mengikuti tasawuf yang sejati secara ilmu, akhlak dan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) menerusi tarekat pimpinan Imam Junaid Baghdadi dan sesiapa yang berjalan di atas kaedahnya daripada imam yang mendapat petunjuk.”

- Muhammad Hasyim Asy’ari berkata, “Adapun Ahlussunnah Wal-Jama’ah adalah kelompok ahli tafsir, ahli hadis, dan ahli fikih. Merekalah yang mengikuti dan berpegang teguh dengan sunnah Nabi Muhammad saw dan sunnah Khulafa’ Rasyidin setelahnya. Mereka adalah kelompok yang selamat (al-firqah al-najiyah). Mereka mengatakan, bahwa kelompok tersebut sekarang ini terhimpun dalam madzhab yang empat, yaitu pengikut Madzhab Hanafi, Syafi’i, Maliki, dan Hanbali.”

- Imam Tajuddin As-Subki berkata, “Ketahuilah bahawasanya Abu Hasan tidak berlebih-lebihan dalam pandangan dan tidaklah mereka-reka suatu mazhab, akan tetapi ia adalah berpandukan mazhab Salaf. Memperjuang apa yang telah diperjuangkan daripada para sahabat-sahabat baginda Rasulullah. Maka dinasabkan melaluinya, yang mana demikian adalah berasaskan lingkungan jalanan salaf. Dan berpegang dengannya serta mendirikan hujah-hujah dan dalil-dalil kukuh ke atasnya, maka jadilah ia suatu ikutan pada jalanan tersebut yang mana jalan mendapatkan petunjuk, dinamakan sebagai Asya’irah.”

- Sa’id Hawwa berkata, “Sesungguhnya umat Islam sepanjang zaman mereka mempunyai para imam dalam akidah, fiqh dan tasawuf. Maka imam mereka dalam akidah ialah seperti Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi…”

- Imam Muḥammad Aḥmad al-Safarīnī al-Hanbali berkata, “Ahli Sunah Waljamaah mempunyai tiga firqah. Mereka adalah; Al-Athriyyah: iaitu imamnya Aḥmad bin Ḥ Al-Ashā’irah: iaitu imamnya Abū Ḥasan al-Ash’arī. AL-Maturidiyyah: iaitu imamnya Abū Manṣūr al-Maturidi.

- Syeikh al-‘Allamah Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad berkata “Ketahuilah bahawa sesungguhnya mazhab Asya’irah dalam akidah ialah di atas jumhur ulama umat Islam, maka yang dinisbahkan kepada mereka yang mengikuti jalan mereka (Asya’irah) merupakan para ulama ummah sejak zaman berzaman, dan mereka ini merupakan imam-imam ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu tafsir dan qiraat, ilmu fiqh dan usulnya, ilmu hadis dan disiplinnya, ilmu tasawwuf, ilmu bahasa dan ilmu sejarah.”

- Uthman el-Muhammady berkata, “Yang dimaksudkan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah ajaran dan amalan yang berasal daripada Nabi dan para sahabatnya sebagaimana yang ternyata daripada hadith yang menyebut umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, yang selamat hanya satu, iaitu mereka yang dipanggil sebagai jemaah yang selamat dan benar, yang berpegang kepada dasar hidup nabi dan para sahabatnya, mereka itulah Ahli Sunnah Wal Jamaah”

- Khalif Muammar berkata, “Penting untuk kita ketahui bahawa Asha’irah melalui ilmu Kalam telah banyak berjasa menangkis dan meranapkan hujah-hujah Mu’tazilah, Syi’ah dan kelompok sesat yang lain. Ini kerana hanya golongan Asha’irah-Maturidiyyah yang mempunyai alat untuk melawan hujah dengan hujah secara intelektual sesuatu yang tidak dimiliki oleh ulama’ Ahli Hadith. Selain daripada itu ilmu usul al-fiqh telah banyak mengambil manfaat daripada ilmu Kalam. Kitab al-Burhan oleh Imam al-Juwayni dan kitab al-Mustasfa oleh Imam al-Ghazali menurut Ibn Khaldun adalah dua kitab yang paling berpengaruh dalam ilmu Usul al-fiqh dalam dunia Islam dan keduanya menggunakan ilmu Kalam. Kitab al-Mustasfa bukan sahaja menjadi rujukan mazhab al-Shafi’i tetapi juga diterima pakai oleh mazhab empat yang lain. Sehingga ulama’- ulama’ yang bermazhab Maliki di Tunis, Maghribi, di Barat dunia Islam turut mensyarahkannya. Kerana itu dapat disimpulkan bahawa tindakan memperkecilkan dan mengkeji ilmu Kalam adalah tindakan mundur ke belakang bahkan dapat merosakkan asas-asas peradaban Islam.”

Rujukan:

1. Sirajuddin Abbas. 2017. I’tiqad Ahlussunnah Wal-Jama’ah. Pustaka Aman Press Sdn Bhd.

2. Ratib Alami. Dari Siapa Ilmu Diambil. Pelima Media.

3. Manar al-Fathoni

4. Sejarah Aqidah Asy’ariyah dan Maturidiyah. http://gusdayat.com/2010/09/15/sejarah-aqidah-asyariyah-dan-maturidiyah/

5. ALIRAN AL-ASY‘ARI DAN AL-ASYA‘IRAH: PERKEMBANGAN, PENGARUH DAN KESANNYA DALAM DUNIA ISLAM KHUSUSNYA DI ALAM MELAYU. http://eprints.um.edu.my/3668/1/Al-Asy’ariyyah_Dalam_Dunia_Islam_dan_Malaysia.pdf

6. AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DAN PEMAKAIANNYA DI MALAYSIA: ISU DAN CABARAN. https://www.researchgate.net/publication/316542878_Ahli_Sunnah_wal_Jamaah_dan_Pemakaiannya_di_Malaysia_Isu_dan_Cabaran

7. KERTAS KERJA : PENGHAYATAN DAN PENGUKUHAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ)[1]. http://tanwir.my/kertas-kerja-penghayatan-dan-pengukuhan-akidah-ahli-sunnah-wal-jamaah-aswj1/

8. Diskusi Isu Akidah Dan Pemikiran Semasa Di Malaysia. http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/diskusi_isu_akidah_dan_pemikiran_semasa1.pdf

9. USAHA MEMARTABATKAN AKIDAH AHLI SUNNAHWAL JAMAAH SEBAGAI PEMANGKIN KELANGSUNGAN MASYARAKAT ISLAM MADANI DI MALAYSIA. http://eprints.uthm.edu.my/4761/1/usaha_memartabatkan_akidah…Islam_Madani_Di_Malaysia.pdf

10. AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH; PENGERTIAN, SEJARAH, DAN TOKOH. https://rizkytriana12.blogspot.com/2016/07/ahlussunnah-wal-jamaah-pengertian_80.html?m=1

11. SEJARAH PERKEMBANGAN AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH. https://referensiuntukmu.blogspot.com/2016/10/sejarah-perkembangan-ahlus-sunnah-wal.html?m=1

12. ASAL USUL ASWAJA ATAU AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH. https://aqidatu-na.blogspot.com/2016/09/asal-usul-aswaja-atau-ahlussunnah-wal-jamaah.html?m=1

13. Sejarah Aliran Mazhab Tauhid: Khawarij, Murjiah, Mu’tazilah dan Ahlusunnah wal Jamaah. https://www.google.com/amp/s/perisma.wordpress.com/2010/07/03/sejarah-aliran-mazhab-tauhid-khawarij-murjiah-mu%25E2%2580%2599tazilah-dan-ahlusunnah-wal-jamaah/amp/

14. International Conference. Who are the Ahl al-Sunna? A clarification of the methodology of the Ahl al-Sunna wa’l-Jama`a in relation to tenets of faith, jurisprudence and spirituality and the effects that deviating from it has on world affairs. https://chechnyaconference.org/material/chechnya-conference-statement-english.pdf

15. Islamic conference in Chechnya: Why Sunnis are disassociating themselves from Salafists. https://www.firstpost.com/world/islamic-conference-in-chechnya-why-sunnis-are-disassociating-themselves-from-salafists-2998018.html

16. Over 100 Sunni scholars declare Wahhabis to be outside mainstream Sunni Islam – Chechnya. http://maktabah.org/blog/?p=3619

17.
STORM IN A TEACUP: A STATEMENT ON THE CHECHNYA CONFERENCE. http://www.alhabibali.com/en/news/storm-in-a-teacup-a-statement-on-the-chechnya-conference/

Diambil dari : https://wp.me/p8GDYd-4NU

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Sejarah Ahlussunnah Wal Jamaah"

Posting Komentar